Saturday 30 April 2011

Jas


BAB 1 : KEDUDUKAN STRATEGIK

MENDORONG PENGUASAAN BRITISH


1. SHTI jalankan perdagangan antarabangsa dan meluaskan tanah jajahan British.
2. Pulau Pinang asalnya wilayah Kedah.
3. British tidak boleh menguasai Kedah. Siam mengaku Kedah di bawah naungannya.
4. SHTI ingin Pulau Pinang sebagai pangkalannya.
5. Kepentingan Pulau Pinang kepada British :
i. Pusat pengumpulan barangan :-
a. SHTI perlukan teh dari China
b. China perlukan emas, perak, bijih timah dan lada hitam dari Kepulauan Melayu.
ii. Sebagai pelabuhan persinggahan :-
a. Pelabuhan Pulau Pinang menyediakan makanan, kemudahan membaiki kapal
b. Tempat berlindung sementara menunggu peralihan angin monsun.
iii. Menjadi pangkalan tentera British :-
a. British dan Perancis bersaing menguasai perdagangan di India.
b. Pulau Pinang sebagai pengkalan tentera mempertahankan petempatan British di India daripada serangan Perancis.
(2) Kedaulatan Kedah tercabar
1. Kedah mempunyai pelabuhan entreport.
2. Kuala Kedah maju sebagai pusat perdagangan
3. Kemakmuran Kedah menyebabkan pemimpinnya sentiasa hadapi cabaran dalam dan luar negeri.
Ancaman Bugis
i. Perebutan takhta apabila Sultan Muhammad Jiwa melantik Tunku Abdullah menjadi Raja Muda.
ii. Perlantikan tidak dipersetujui oleh kerabat diraja Kedah kerana Tunku Abdullah bukan anak gahara
iii. Mereka berpakat dengan Bugis di Selangor menentang Sultan Muhammad Jiwa.
iv. Bugis (Raja Haji) menawan Kuala Kedah serta Alor Setar.
v. Sul Muhammad Jiwa dapatkan bantuan ketenteraan Firma Jourdain Sullivan & de Souza.
vi. Firma hantar Francis Light untuk berunding
vii. Perjanjian (1771) benarkan firma berniaga di Kuala Kedah
viii. Sultan batalkan perjanjian apabila firma enggan memberi bantuan tentera bagi menyerang Bugis di Selangor.
(b) Ancaman Siam
i. Kedah hentikan penghantaran bunga emas kepada Siam semasa berperang dengan Burma
ii. Selepas perang dgn Burma tamat, Siam menjadi kuasa yang kuat semula.
iii. Siam tuntut Kedah hantar bunga emas, wang serta tenaga manusia.
iv. Sultan Kedah (Sultan Abdullah– pengganti Sultan Muhammad Jiwa ) berasa terancam
v. Sultan dapatkan bantuan tentera SHTI.
vi. Tawarkan Pulau Pinang jika SHTI sanggup melindungi Kedah daripada ancaman Siam.
vii. Francis Light menerima tawaran Sultan Abdullah
(3) Pertapakan British di Pulau Pinang
1. Tipu helah Francis Light
i. SHTI bimbang dgn dasar monopoli Belanda
ii. Tawaran Sultan Abdullah membenarkan SHTI menduduki Pulau Pinang memenuhi keperluan SHTI bagi menghadapi ancaman Belanda.
iii. Francis Light tandatangani Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 dgn Sultan Kedah secara peribadi.
iv. Francis Light menduduki Pulau Pinang dengan syarat memberi bantuan ketenteraan
2. Syarat Perjanjian Inggeris-Kedah 1786
i. SHTI bantu Kedah sekiranya diserang musuh
ii. SHTI tidak boleh melindungi musuh Kedah
iii. SHTI membayar 30 ribu dolar Sepanyol setahun kepada Sultan Kedah sebagai pampasan
3. Upacara menaikkan bendera Union Jack
i. Pulau Pinang dinamakan Prince of Wales Island
ii. Petempatan dinamakan Geogetown sempena nama King George III.
iii. bermulanya penjajahan British di Tanah Melayu.
(4) SHTI mungkir janji
1. Siam takluki Patani dan mengancam Kedah.
2. Sultan Abdullah tuntut SHTI memberi ketenteraan
3. SHTI enggan sebab tidak terlibat dlm Perjanjian 1786,
4. Perjanjian 1786 bersifat peribadi antara Sultan Abdullah dengan Francis Light.
5. SHTI jaga kepentingan perdagangan dengan Siam.
6. Sul Abdullah desak Francis Light meninggalkan Pulau Pinang.
7. Francis Light enggan melepaskan Pulau Pinang.
8. Francis Light tawarkan bayaran ganti rugi tetapi ditolak oleh Sultan Abdullah.
9. Sultan Abdullah rasa tertipu – sediakan angkatan laut di Seberang Perai untuk ambil semula Pulau Pinang.
10. Baginda dapatkan bantuan Riau, Siak dan Selangor.
11. Francis Light meminta bantuan tentera
12. Sultan Abdullah tewas
13. Sultan Abdullah tandatangani Perjanjian Persahabatan dan Keamanan Inggeris-Kedah 1791.
14. SHTI bayar 6 ribu dolar Sepanyol setiap tahun kepada Sultan Abdullah.
15. George Leith dilantik Gabenor Pulau Pinang pertama.

we are the only one ! :)

karangan bm(diana)

Amalan Gaya hidup Sihat

Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
.
.
..........
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
.
..........
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
...........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
...........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

we are the only one ! :)

karangan bm (nadya)

Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita


..........“
Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........
Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
.
..........
Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
...........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........
Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
.
..........
Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........
Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

we are the only one ! :)

karangan bm (nadya)

Semangat kejiranan

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

.............Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

.............Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

.............Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

.............Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

.............Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

............Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

we are the only one ! :)

karangan bm (nadya)

Faktor Menggalakkan Pelancongan di Malaysia.

.....Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

............Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

............Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

............Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

.............Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

.............Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

.............Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.
.

we are the only one ! :)

karangan bm zulaikha

Kepentingan Memelihara dan Mengekalkan Bangunan Bersejarah di Negara Kita.

Malaysia kaya dengan bangunan dan monumen bersejarah. Kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan menjadikan binaan lama tersebut sebagai salah satu daripada Warisan Kebangsaan. Bincangkan kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah di negara kita.
.
.

……….Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.
.
……….
Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
.
……….
Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
.
……….
Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
.
……….
Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
.
……….
Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

we are the only one ! :)

karangan bm zulaikha

Keburukan penglibatan pelajar dalam industri hiburan tanah air.

...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.

...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.
...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

we are the only one ! :)

karangan bm

..Saban tahun kita kerap membaca berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan peniaga. Hal ini berlaku kerana kejahilan pengguna sendiri yang tidak tahu peranan mereka sebagai pembeli. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan persatuan pengguna dalam menangani masalah pengguna di negara ini.Sebenarnya, persatuan pengguna memainkan peranan penting untuk membantu pengguna mengatasi masalah penipuan oleh penjual.

............Isu kenaikan harga barang-barang mula mendapat perhatian media massa terutama selepas kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja kerajaan. Hal ini bertambah parah apabila berlaku kenaikan harga minyak sehingga mengakibatkan penjual mengambil kesempatan menaikkan harga barangan yang dijual. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan pelbagai tindakan telah dilakukan terutama oleh kerajaan untuk membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang hanya cakap-cakap angin sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.

............Dalam menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan dan menerangkan hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam. Persatuan pengguna boleh menjalankan kempen bagi menjelaskan betapa pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya membeli keperluan yang penting dan bukan berbelanja mengikut kemahuan. Kempen penerangan ini seelok-eloknya dijalankan dalam kalangan pelajar terutama pelajar sekolah agar orang ramai terdidik tentang isu kepenggunaan sejak mereka kecil lagi keranamelentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini membolehkan kesannya dirasai dalam jangka panjang apabila masyarakat terdidik dengan ilmu-ilmu kepenggunaan.

............Tambahan pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama peniaga ini boleh didedahkan di dada akhbar atau di media massa yang lain untuk makluman orang ramai. Menyenaraikan nama peniaga yang tidak bertanggungjawab di akhbar pengguna dapat mengelakkan orang ramai daripada terus berbelanja di premis mereka dan secara tidak langsung akan membimbangkan peniaga daripada menipu orang ramai. Maklumat seperti ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.

............Selain itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli produk atau barangan mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna. Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu oleh peniaga tetapi pengguna tidak tahu tempat untuk mengadu. Antara kes penipuan peniaga termasuklah dari segi harga, kualiti, kandungan mahupun tarikh sah luput barangan yang dibeli malah barangan yang dijual sebenarnya indah khabar dari rupa. Justeru, kehadiran persatuan pengguna dalam memberi nasihat kepada pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka amatlah besar kesannya. Keadaan ini boleh menyebabkan nasib pengguna terbela dan tidak terus ditekan oleh golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

............Tambahan pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya "pemerhati" senyap di antara pengguna dengan peniaga. Maksudnya, peniaga akan lebih berhati-hati sebelum cuba menipu pengguna kerana sedar setiap tindakan mereka akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa yang sama pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya. Jadi, kewujudan persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran sentiasa dalam keadaan baik kerana semua pihak sedar ada pihak ketiga yang memerhatikan keadaan pasaran ekonomi negara.

............Malahan, persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri. Persatuan pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu menjual produk kepada pengguna dengan harga yang lebih murah. Kemahiran persatuan pengguna dalam hal-hal meletakkan harga barang sudah pasti memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini boleh dijadikan satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat. Dengan adanya penglibatan persatuan pengguna dalam bidang perniagaan, pengguna berpeluang memperoleh sesuatu barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah dan kompetatif. Pertandingan sihat antara persatuan pengguna dengan peniaga lain juga akan mewujudkan persaingan sihat yang bakal mengawal harga pada tahap yang sentiasa rendah.

............Ringkasnya, persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di negara ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati. Cuma sejauh manakah keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab biarpun ramai pihak beranggapan bahawa badan bebas ini berfungsi sebagai payung untuk melindungi pengguna. Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pengguna masa kini.
we are the only one ! :)