Sunday 17 July 2011

PENYALAHGUNAAN DADAH(nadya)

Definisi
Dadah ialah bahan kimia yang boleh menimbulkan kesan perubahan terhadap psikologi, emosi atau tingkah laku seseorang.
Penyalahgunaan dadah ialah penggunaan bahan kimia secara tidak sah ataupun haram yang mengakibatkan kerosakan fizikal, mental, emosi atau hubungan sosial seseorang.
Semua dadah adalah berbahaya. Kesan dadah bergantung kepada
1. dos atau kuantiti,
2. kekerapan dadah diambil
3. cara menggunakannya (seperti menghisap, menyedut, menyuntik melalu kulit dan sebagainya).
Dadah terdiri daripada beberapa jenis seperti Morfin, Heroin, Ganja, Kanabis, Kosoin dan banyak lagi. Jenis dadah yang paling popular dan mengancam negara masa kini ialah'SYABU'
Kesan-Kesan Negatif Pengambilan Dadah :
Profil penagihan dadah di Malaysia menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada penagih dadah adalah di dalam lingkungan umur 15 - 25 tahun. Sebahagian besarnya ialah belia-belia yang masih bersekolah sama ada di sekolah ataupun di pusat-pusat pengajian tinggi.
Antara faktor yang mendorong penagihan dadah ialah:
1. Keseronokan,
2. Perasaan Ingin Tahu,
3. Pengaruh Rakan Sebaya,
4. Meningkatkan Keseronokan Seksual,
5. Tekanan Jiwa.
Kesan pengambilan dadah akan menimbulkan kerugian atau kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Orang yang paling dekat dengan penagih seperti ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan akan turut merasai kesan daripada penyalahgunaan dadah itu seperti kehilangan wang ringgit, kerungsingan, penyakit berbahaya dan banyak lagi yang boleh menghancurkan keluarga terlibat.
Tanda-Tanda Penagihan Dadah:
1. Kemerosotan peratus kehadiran ke sekolah.
2. Tekanan yang kerap mengakibatkan kemarahan, selalu menguap dan tidak bermaya,
3. Hilang fokus terhadap pelajaran,
4. Risiko penagihan amat tinggi dalam kalangan pelajar yang merokok,
5. Kemerosotan prestasi pelajaran secara mendadak seperti kerja rumah tidak siap, peratus markah jatuh secara mendadak,
6. Mengelakkan diri daripada tanggungjawab,
7. Kemerosotan rupa paras dan kebersihan diri,
8. Tabiat suka menyembunyikan apa-apa yang dilakukan atau yang dimiliki,
9. Hilang selera makan, kurang berat badan, mata berkaca-kaca dan berair atau mata kuyu,
10. Sering melakukan perbuatan menyedut melalui hidung seolah-olah melakukan perlakuan menarik hingus,
11. Parut dan bekas suntikan di lengan dan di hujung jari bertukar warna akibat menghisap ganja,
12. Bau badan kurang menyenangkan,
13. Berdampingan dengan mereka yang diketahui merokok atau menagih dadah,
14. Kerap meminta wang secara berlebihan daripada keluarga,
15. Kerap meminjam wang daripada rakan,
16. Sering mencuri barang-barang yang mudah dijual dari rumah, kelas atau sekolah, saudara mara dan sebagainya,
17. Selalu mengunjungi tempat-tempat terpencil tanpa sebab seperti stor dan bilik atau kawasan semak yang jauh daripada orang ramai dengan tujuan menagih dadah, dan banyak lagi.
Walau bagaimanapun, kita tidak harus membuat kesimpulan sendiri yang seseorang pelajar itu penagih dadah berdasarkan tanda-tanda yang saya katakan tadi. Ada baiknya kita menyiasat dahulu, bertanya secara terus-terang kepada seseorang yang disyaki atau merujuk Guru Pengawas, Guru Kaunseling atau pakar­-pakar perubatan.
Penutup :
Secara realitinya, sama ada anda ada niat untuk menceburkan diri, atau baru mula melibatkan diri atau sudah lama berkecimpung dengan dunia hina ini, Hanya anda yang tahu.
Pesan KPJS
HINDARILAH DAN JAUHILAH NAJIS DADAH,
JANGAN SEKALI-KALI MENOLEH KEPADANYA, JANGAN CUBA - CUBA DEKATI MEREKA YANG MENAGIH, JADILAH INSAN YANG BERGUNA DAN BERMARUAH, INGAT, Dadah Musuh Negara.
4. AKADEMIK DAN AKHLAK : Mana Lebih Penting ?
Pendahuluan :
Adakah Sekolah kita, telah melahirkan generasi pelajar kurang berdisiplin dan kurang bermotivasi sehingga setiap masa pihak sekolah, khususnya Pihak Pentadbir dan Badan Pengawas perlu mengajar, memarahi, mendenda, mengambil tindakan disiplin seperti gantung sekolah, hukuman rotan serta mengadakan program demi program seperti Kempen Sifar Rokok, Kempen Menghormati Guru dan sebagainya?
Kelab Pencegahan Jenayah cuba untuk merungkaikan persoalan-persoalan ini.
Persoalan
Jika jawapannya 'tidak', kenapa pula pelbagai bentuk tindakan, hukuman atau dendaan serta pelbagai program perlu dilancarkan dan jika jawapannya 'ya', kenapa boleh jadi begitu?
Adakah pendidikan kita hanya memberikan penekanan pada kejayaa­an kademik sehingga lupa kepada pembinaan sahsiah yang baik serta disiplin yang tinggi?
Hari ini, bermula di peringkat sekolah rendah, ternyata kita hanya memberikan sanjungan yang berlebihan kepada mereka yang berjaya dalam bidang akademik.
Suasana tidak menunjukkan bahawa mereka yang berdisiplin tinggi dan berakhlak mulia dijadikan contoh kepada kejayaan kepada pelajar-pelajar lain. Kini kekayaan dan kejayaan seseorang dari segi material dipandang tinggi tanpa melihat kepada peribadi mereka.
Tidak hairanlah jika kita melihat ada kalangan masyarakat kita yang mempunyai kedudukan tinggi dalam satu-satu bidang terlibat dengan rasuah.
Jika akhlak dipandang remeh, maka terjadilah apa yang kita katakan sikap kurang berdisiplin dan berakhlak membiak begitu sihat dalam kalangan kita.
Kita sering terbaca dan mendengar berita mengenai 'Mat Rempit' melanggar ­nenek tua. Kita terbaca kisah pelajar dipenjarakan kerana tuduhan rogol. Kita terbaca pelajar buli rakan. Kita terbaca pelajar pukul guru.
Malah di sekolah kita juga, suatu masa dahulu kita pernah dikejutkan dengan ­isu-isu pelajar menghina dan melempar seorang Mak Cik penjaga tandas, kita pernah dikejutkan dengan berita pelajar membuang seluar dalam ke dalam tangki pam tandas pelajar lelaki, kita pernah disajikan dengan isu papan tulis di kelas dikopak dan dirosakkan, kita pernah dihidangkan dengan kes pelajar kencing di dalam ­kelas dan banyak lagi.
Kempen saja tidak memadai jika kebanyakan pelajar tingkatan 5, 4 atau 3 gagal menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik pelajar yang lain. Contoh, yang baik datang daripada diri kita sendiri. Bagaimana adik-adik pelajar tingkatan 1 atau 2 mahu menghormati abang atau kakak pelajar tingkatan 4 atau 5 jika mereka membuli atau menunjukkan contoh teladan yang kurang sopan. Pendek kata, tidak ada yang lebih indah melainkan `abang atau kakak hormat adik' dan 'adik hormat abang atau kakak'.
Hari ini pihak pentadbir mahupun guru-guru kita, berasa amat kecewa melihat kita kurang menghormati guru, kurang menunjukkan disiplin dan moral serta akhlak yang baik. Lebih-lebih lagi jika kita tidak menunjukkan perubahan sama ada perubahan prestasi akademik mahupun prestasi disiplin serta akhlak kita.
Apapun tindakan, hukuman, program atau kempen yang dilakukan oleh pihak sekolah, KPJS pasti, itu semua hanya membazirkan wang pihak sekolah dan masa guru-guru sahaja jika semua pelajar yang ada di sini termasuk saya, gagal memberikan dan menunjukkan penekanan sahsiah yang baik setanding dengan usaha mencapai kejayaan akademik.
Anda mungkin setuju dengan pandangan saya bahawa guru-guru kita lebih bangga melihat seorang pelajar berkelulusan rendah tetapi mempunyai disiplin dan budi pekerti yang tinggi, daripada pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang tinggi tetapi bersikap 'hidung tinggi'.
Malah pengetua kita, guru-guru pengawas dan semua guru akan bertambah bangga jika kita mampu memiliki prestasi pelajaran yang cemerlang dan memiliki akhlak yang gemilang.
Kesimpulan
Jika ini berlaku, KPJS pasti dan amat pasti, guru-guru khususnya guru disiplin, tidak perlu lagi banyak membazirkan masa mereka untuk mengambil tindakan disiplin dan hukuman kepada kita yang sering melanggar peraturan sekolah dan pihak sekolah juga tidak perlu lagi membazirkan wang mengadakan pelbagai program membentuk sahsiah dan disiplin kita, malah masa guru dan wang sekolah boleh dihabiskan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi akademik kita.
Mungkin ini sesuatu yang terlalu ideal. Satu impian KPJS yang terlalu besar. Tetapi tanpa impian, kenyataan tidak akan kesampaian. Marilah kita semua pelajar jadikan disiplin dan akhlak yang baik sebagai satu wawasan menuju Visi dan Misi Sekolah iaitu melahirkan pelajar-pelajar gemilang akhlak.
KPJS mengakhiri slot ini dengan sebahagian kata-kata hikmah dari Buku Peraturan Sekolah untuk pedoman kita semua, yang berbunyi :
Tanpa 'peraturan' pelajar-pelajar tidak ada hala tuju dan tidak
mengetahui norma-norma sosial yang menjadi adapt pegangan masyarakatnya
SAMA-SAMALAH KITA BERHIJRAH,
· Dari kurang baik kepada baik
· Dari kurang bermoral kepada lebih bermoral,
· Dari kurang menghormati guru kepada lebih menghormati guru, dan
· Dari berfikiran negatif kepada berfikiran lebih positif,



we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment