Tuesday 16 August 2011

"KEHEBATAN AL QURAN" diana Print
ImageBila tibanya bulan Ramadhan Al Mubarak sudah pasti umat Islam akan memperingati beberapa peristiwa sirah Islam yang berlaku di dalamnya yang merupakan peristiwa agung iaitu peristiwa turunnya kitab suci Al Quran Al Karim dan malam Lailatul Qadar.
Al Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannnya. Nuzul bererti turun atau berpindah manakala Al Quran bermakna bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al Quran itu untuk dibaca oleh umat Islam. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam Al Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jenayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
            Peristiwa nuzul Al Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, di Gua Hira' tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan malaikat Jibril. Dan ini ditegaskan melalui firman Allah yang bermaksud :
            " Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah "
( Surah Al Baqarah : 185 )
            Al Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 23 tahun. 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Ia dinamakan mukjizat teragung kerana kehebatannya. Antaranya ialah :
1.    Allah berfirman yang bermaksud :
" Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al Quran ini, mereka tidak akan mendapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka membantu sesama sendiri."
( Surah Al Isra' : 88 )
2.    Orang yang membaca, menghafaz dan melihat Al Quran sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3.    Al Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup umat Islam di dunia dan di akhirat
4.    Tidak sesiapa pun samaada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai Al Quran. Firman Allah yang bermaksud :
" Dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah penolong-penolong kamu, selain Allah, sekiranya kamu orang yang benar."
( Surah Al Baqarah : 23 )
5.    Al Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W.
6.    Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia Al Quran secara menyeluruh sehingga ke hari ini. Ini bererti kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan Al Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
7.    Al Quran merupakan petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang. Allah berfirman yang bermaksud :
" Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa. "
( Surah Al Baqarah : 22 )
8.    Membaca Al Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksudnya :
" Bacalah Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. "
Sesungguhnya Al Quran mempunyai 3 hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya :
1.    Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya
2.    Hak untuk bertakbir atau memahaminya dan menjiwainya
3.    Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya
Beberapa peringatan untuk kita bersama :
1.    Al Quran diturunkan adalah untuk dibaca dan diamalkan bukan setakat dijadikan perhiasan
2.    Al Quran tidak akan menjadi syifa' ( ubat ) bagi orang-orang yang ingkar dan zalim
3.    Al Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang bertaqwa.
4.    Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah Al Quran dengan izin Allah
5.    Pesan Nabi Muhammad S.A.W :
" Aku tinggalkan 2 perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku. "


Disediakan oleh:
Muhammad Hariz bin Haji Damanhuri
Unit penerangan & penerbitan
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor
from:http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1080&Itemid=70


we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment