Sunday 2 October 2011

BAGAIMANA MENYINTAI RASULULLAH SAW diana


Saban tahun umat Islam menyambut meriah hari mengingati Keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Malah sambutan ini telah diadakan acara tahunan peringkat Kebangsaan dan negeri dengan mengadakan pelbagai acara seperti perarakan, majlis marhaban, ceramah dan forum perdana.     Pada tahun ini, Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1429H/2008M jatuh pada 20 Mac 2008. Program seperti ini dilaksanakan sebagai menunjukkan kasih sayang kita terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Persoalannya bagaimanakah penyataan sebenar yang perlu kita zahirkan sebagai menunjukkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Antara langkah yang perlu dilaksanakan sebagai umat Rasulullah SAW adalah seperti berikut:-

•    Mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad. Hikmah utama diutusnya rasul Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka). Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut.” (Surah al-Nahl, ayat 36). Mentauhidkan Allah adalah bukti paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad SAW.

•    Mempelajari Al-Quran, memahami, mengamal dan menyebarkan ajarannya. Antara tanda mencintai Rasulullah SAW adalah dengan memanfaatkan Al-Quran yang menjadi mukjizatnya dalam segala aspek kehidupan kita. Ibnu Ma’sud berkata: Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai Al Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.

•    Mentaati Sunnah Nabi SAW, satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Firman Allah yang bermaksud:- “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

•    Menyebarkan sunnah Nabi SAW. Mencintai Nabi SAW bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda, tetapi hendaklah kita bersungguh menyampaikan serta mengajarnya untuk menyambung tugasan baginda. Jika kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan, pasti sunnahnya akan mati dan digantikan amalan yang bercanggah dengan syarak.

•    Sentiasa memuji dan mengingatinya, Mencintai Nabi Muhammad SAW, bermakna baginda sentiasa berada di hati kita. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikannya perjalanan hidup baginda sebagai cahaya menyuluh perjalanan kita.Selain itu kita disunatkan memperbanyakkan selawat ke atasnya yang menjadi syafaat di akhirat kelak sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:”Barangsiapa yang berselawat kepadaku nescaya aku tambahkan menjadi 10 kali ganda”

•    Membela Nabi SAW daripada serangan golongan munafik dan musuh-musuh Islam. Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum hakam Allah serta sunnah baginda sedang hebat diperlekehkan kelompok munafik. Oleh itu, tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW adalah membantah hujah golongan itu dan membela baginda dengan memberi penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu batil yang dibangkitkan musuh Allah itu.Penyiaran ilustrasi nabi oleh majalah di Denmark perlu dibantah oleh umat Islam. Ia satu bentuk penghinaan yang jelas oleh musuh Islam. Tindakan menyaman pihak berkenaan melalui institusio perundangan antarabangsa merupakan satu langkah ke depan sebagaimana yang telah diputuskan oleh OIC baru-baru ini.

Disediakan oleh:

Nordin bin Bayadi
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor

we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment