Sunday 2 October 2011

bersaksi palsu(diana)


Menurut Syariat Islam persaksian adalah perkara yang paling penting dalam penghakiman dan pengadilan. Ini kerana persaksian seseorang saksi bagi sesuatu keterangan sebagai bukti menyokong atau keterangan yang membawa sabitan adalah perkara yang amat penting bagi seseorang hakim untuk mensabitkan sesuatu kes  atau menolaknya. Samaada dalam kes jenayah atau kes mal begitu juga dalam perkara lain yang melibatkan saksi seperti dalam bab perkahwinan, hutang dan lain-lain.
PERANAN SAKSI
Seseorang saksi yang dipanggil dan yang dihadapkan ke mahkamah untuk memberikan keterangan-keterangan dari pihak  pendakwa atau penuduh atau pihak yang didakwa atau yang dituduh mestilah saksi-saksi yang mempunyai syarat-syarat yang cukup dan berupaya mempertahankan kebenaran dan menolak kepalsuan.      
SAKSI DUSTA
Seorang yang menjadi saksi di mahkamah bukan sahaja menjadi alat penimbang kepada hakim untuk mensabitkan atau menolak sesuatu kes, malah saksi-saksi dalam mahkamah menjadi pemutus kepada seorang hakim atau panel hakim berdasarkan keterangan-keterangan saksi. Jika saksi berbohong maka keputusan hakim akan menjadi salah seterusnya menganinayai dan menzalimi orang yang dituduh. Oleh yang demikian dosa orang yang menjadi saksi palsu di mahkamah adalah dosa besar.   
DALIL AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
Firman Allah S.W.T:
  1. " Dan (hamba Allah yang baik iaitu ) mereka yang tidak memberikan kesaksian palsu" ( Surah al_Furqan : 72)
  2. "Dan jauhilah perkataan dusta(palsu)" ( Surah Al-Hajj:30)
  3. "Sesungguhnya Allah tidak memberikan pertunjuk kepada orang yang melampaui batas lagi berdusta" (Surah al-Mukmin :28)
  4. "Dan janganlah kamu(wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya" 9 Surah al-Baqarah:283)
  5. Sabda Rasulullah s.a.w: "Dipastikan dua kaki dari orang yang bersaksi palsu itu pada hari kiamat nanti akan melangkah ke Neraka" ( hadis Riwayat Ibn Majah dan Hakim)
  6. " Mahukah ku tunjukan tentang dosa yang paling besar? Iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada orang tua, ingatlah ucapan-ucapan dusta dan ingatlah saksi yang dusta dan nabi mengulang-ngulangi hingga kami (para sahabat berkata( dalam hati): ohh, bilakah beliau hendak diam" (hadis Riwayat Bukhari )  
SAKSI PALSU BERDOSA BESAR   
Orang yang menjadi saksi palsu  telah melakukan dosa besar yang berlipat kali ganda sebagaimana berikut:
  1. Berdosa dan melakukan kepalsuan.
  2. Berbuat zalim kepada orang yang dituduh ( yang disaksikan ), hingga dengan kesaksian tersebut , orang tesebut telah mengambil harta, mencabul kehormatan,dan berbagai-bagai lagi.
  3. Hakim jadi salah dalam penghakiman sehingga menzalimi orang yang tidak bersalah dan melepaskan orang yang bersalah.    
HUKUM MENJADI SAKSI
Menuruk hukum syara', menjadi saksi di atas sesuatu kes itu adalah wajib, di mana mereka yang dipanggil menghadirkan diri ke mahkamah untuk menjadi saksi dari pihak pendakwa atau tertuduh adalah fardu ain.   
RUKUN-RUKUN SAKSI
Rukun-rukun saksi adalah tertakluk kepada lima perkara:
  1. Orang yang menjadi saksi
  2. Suatu perkara yang disaksikan iaitu kes
  3. Orang yang akan diberi saksi
  4. Orang yang mempunyai saksi
  5. Lafaz saksi seperti " Saya bersaksi........."  
SYARAT-SYARAT SAKSI
Syarat-syarat saksi ada 7 perkara:
  1. Mukallaf
  2. Islam
  3. Merdeka
  4. Bermaruah
  5. Adil
  6. Tada tohmahan pada dirinya
  7. Bukan musuh kepada orang yang didakwa     
SIAPA YANG LAYAK JADI SAKSI
Lelaki dan wanita boleh menjadi saksi. Lelaki boleh menjadi saksi dalam semua kes tetapi mesti mengikuti syarat-syarat saksi. Tetapi tidak bagi wanita sekalipun menepati syarat dari sudut syara'.
  1. Lelaki menjadi saksi dalam kes penetapan awal ramadhan walaupun seorang.
  2. Lelaki menjadi saksi bagi kes zina, liwat dan qazaf iaitu 4 orang saksi dan  2 orang saksi dalam  kes mencuri, nikah, talak dan sebagainya.
  3. Perempuan menjadi saksi dalam kes   yang hanya boleh disaksikan oleh wanita sahaja seramai  4 orang iaitu dalam kes melahirkan anak, kedatangan haid, dara, janda dan kecacatan kaum perempuan.
  4. Dua orang lelaki atau seorang lelaki dan seorang perempuan boleh menjadi saksi dalam kes harta seperti jual beli, gadai menggadai, hutang piutang dan sebagainya.
Disusun Oleh:
Hj. Khairuddin bin Haiyon
PP Bahagian Dakwah (Unit Penerangan dan Penerbitan)


we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment