Wednesday 5 October 2011

punca2 pencemaran alam zulai

Kadar pencemaran alam di negara ini dikatakan begitu tinggi walaupun pihak berkuasa menafikannya berkali-kali. Kejadian sungau tercemar dan penggondolan kawasan hutan semuanya menceritakan betapa buruknya kadar pencemaran alam itu selain kejadian tanah runtuh yang semakin kerap berlaku. Pihak media massa turut membuat pelbagai laporan yang memberi gambaran bahawa kadar pencemaran alam negara memang begitu kritikal. Oleh itu, pemahaman tentang punca-punca pencemaran alam amat penting untuk menangani kemelut ini.

Salah satu penyumbang utama pencemaran alam di negara ini ialah sektor pembalakan yang begitu meluas dan intensif terutama di Sabah, Sarawak dan Pahang. Aktiviti pembalakan sama ada yang dibenarkan atau haram telah menyebabkan banyak kawasan hutan negara hilang dalam sekelip mata sahaja. Kita semua sedia maklum bahawa hutan menjadi salah satu alat penapis pencemaran yang semula jadi tetapi jika hutan sudah tiada bermakna sistem penapis pencemaran sudah hilang juga. Sesungguhnya, pencemaran alam di negara ini berlaku kerana meluasnya aktiviti pembalakan hutan.

Begitu juga dengan aktiviti pembuang sisa toksik ke dalam sungai, laut, tasik dan sistem takungan air negara. Syarikat lebih suka membuang toksik ke kawasan semula jadi ini kerana mereka tidak mahu mengeluarkan belanja yang besar untuk membersihkannya terlebih dahulu. Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan hampir semua sungai di negara ini sudah mengalami pencemaran yang tinggi. Maka, bayangkan sungai yang tercemar digunakan oleh manusia untuk menjalani kehidupan harian.

Salah satu konsep pencemaran alam yang kita abaikan ialah tahap kebisingan yang wujud terutama di kawasan bandar. Kalau kita kaji kadar kebisingan di bandar begitu tinggi terutama di kawasan pembinaan dan ketika jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Pencemaran ini memang tidak diberi penekanan kerana kesannya dikatakan tidak begitu ketara kepada manusia. Namun, kadar pencemaran bunyi yang tinggi mampu membuatkan masyarakat kita tidak lagi mampu untuk mendengar dengan baik.

Pencemaran alam juga berlaku dengan meluas kerana negara ini tidak memiliki perundangan yang ketat terhadapnya. Maksudnya perundangan negara yang sedia ada tidak begitu memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan pengawalan yang melibatkan pengenaan hukuman yang berat seperti penjara arau dendaa yang tinggi nilainya. Bukan sahaja aspek perundangan yang tidak ketat tetapi pelaksanaan perundangan juga begitu longgar yang menyaksikan banyak kes pencemaran alam dibiarkan sahaja tanpa sebarang tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa. Maka, satu akta yang lebih efektif bersama-sama penguatkuasaan yang menyeluruh harus diaplikasikan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa untuk menangani kemelut ini.

Kadar pencemaran alam yang tinggi juga berkait dengan sikap masyarakat itu sendiri terhadap alam sekitarnya. Pemahaman masyarakat kita akan peri pentingnya alam sekitar dalam kehidupan mereka begitu rendah kerana menganggap manusia tidak memerlukan alam untuk meneruskan kehidupan ini. Ketiadaan sikap kepekaan akan kepentingan alam sekitar ini menjurus ke arah kegagalan sistem pendidikan golongan muda yang bakal mewarisi negara ini kelak. Jelaslah, sikap masyarakat yang sambil lewa sahaja terhadap alam sekitar mendorong berlakunya pencemaran alam pada kadar yang menakutkan ini.

Natijahnya, pencemaran alam telah berlaku dan akan terus berlaku jika tiada sebarang langkah konkrit untuk menghalangnya dibuat segera. Usah kita menuding jari menyalah satu sama lain dalam menyelesaikan masalah ini kerana itu bukanlah cara yang matang untuk menyelesaikannya. Sikap menghargai alam sekitar harus dipupuk dalam diri golongan muda di bangku sekolah dengan segera tanpa sebarang dalih lagi. Kalau kita mahu alam sekitar kita bersih maka diri kita sendiri harus bersih dahulu.
we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment