Wednesday 28 September 2011



"ADAB IKHTILAF DALAM ISLAM"(pikah) Print
new  Manusia bebas untuk berfikir dengan anugerah akal kurniaan  Allah S.W.T. Menggunakan nikmat akal dengan cara yang betul dapat membawa kepada kebaikan. Kita juga dikurniakan  nafsu sebagai satu keperluan tetapi nafsu banyak mengarah kepada kejahatan. Akal dan nafsu sentiasa berlawanan antara satu sama lain. Akal semata-mata tidak menjamin sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh Syariat Allah S.W.T.
Umat Islam hari ini bukan sahaja menghadapi serangan berbentuk fizikal, tetapi yang amat membimbangkan ialah pertembungan yang bersifat perdebatan. Sehingga apa yang telah dinyatakan oleh nabi S.A.W bahawa perselisihan dikalangan umatku adalah satu rahmat kadang-kadang berlaku sebaliknya iaitu menjadi perpecahan. Ini bukan sahaja akan membinasakan kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan ritual  ibadah mereka juga turut menjadi sasaran.
PENGERTIAN IKHTILAF
Ikhtilaf  dalam bahasa arab membawa maksud : tidak sependapat atas sesuatu perkara. Dalam ertikata lain setiap orang mengambil yang berbeza samada dalam perkataan maupun pendapat.
Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama. Oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf. Sementara Khilaf ialah pertentangan atau berlawanan. Maka ia memberi makna sama dengan ikhtilaf walaupun maknanya lebih umum.
Al-Imam al-Syatibi berpendapat bahawa :
 Al-Klilaf ialah suatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan dan bukan hasil dari mencari objektif syarak dengan mengikut dalil-dalinya. Ikhtilaf pula  ialah:
1. Pendapat-pendapat yang lahir dari ulama mujtahahidin dalam masaalah-masaalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat'ei padanya.
2.  Pendapat-pendapat terhadap masaalah-masaalah yang berlaku diantara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya.
PANDANGAN FUQAHA  MENGENAI KHILAF

Para Fuqaha telah menggunakan al-Ikhtilaf dan al-Khilaf  dengan makna yang sama iaitu: " Sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha dalam masalah-masalah ijtihadiyah ( masalah yang tida nas ) tanpa memandang betul atau salah atau ganjil pendapat yang dikemukakan".
Jika ijtihad itu betul mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala. Menjadi satu adab yang dilakukan oleh mereka bahawa mereka tidak menyalahkan diantara satu sama lain bahkan menghormati antara sesama mereka.
Dr. Yusof Al-Qardawi telah memberikan pandangan bahawa memberikan kefahaman yang diharapkan mestilah diserahkan kepada ulama'  yang jauh dari pemerintah pada sudut pengaruh kuasa dan penghormatan. Mereka lebih dipercayai melalui ketulenan ilmu dan kekuatan mereka terhadap pegangan agama.
Oleh yang demikian Syariat Islam telah meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan mestilah beasaskan akal yang sihat, disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen, kepentingan sesuatu dan emosi.


SEBAB-SEBAB  IKHTILAF DALAM ISLAM

Islam memerintahkan kepada kita supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dalam Al-Quran Allah S.W.T telah menyatakan:
"Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara"
Islam  tidak melarang  ikhtilaf tetapi perlu dijaga adab dan etikanya. Jangan sampai membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam. Namun ikhtilaf pasti berlaku tetapi jika tidak dijaga disiplin dan adabnya ia akan  menimbulkan implikasi yang buruk dan mengaibkan dalam masyarakat Islam. Di antara perkara yang berlaku ialah:
1.    Sibuk menimbulkan masalah-masalah kecil yang bersifat ijtihadiyah dan melupakan masalah-masalah besar.
2.   Berdebat dengan melakukan pendekatan yang emosional dan tidak mengakui kebenaran yang dikemukakan oleh orang lain.
3.      Cenderung untuk memilih pendekatan yang keras bukan pada tempatnya, memberatkan diri  dan mempersulit kaedah-kaedah  dalam menentukan hukum.
4.    Sikap taksub  terhadap pegangan tertentu  sehingga mereka banyak disibukkan dengan perdebatan sesama sendiri dan menganggap pendapatnya sahaja yang betul.
5.        Jahil dalam memahami Sumber-sumber Hukum syara' yang telah disepakati oleh para Fuqaha' iaitu Al-Quran, Hadis, Ijma' dan Qias serta sumber-sumber hukum syara' yang tidak disepakati oleh Fuqaha.
6.         Banyak terjebak dengan masaalah yang berbentuk terminologi, masalah-masalah istilah sehingga membahayakan pemikiran umat Islam.
PEMBAHAGIAN KHILAF
Khilaf terbahagi kepada 2 bahagian:
1.  Khilaf yang dicela
Khilaf ini berpunca dari 4 sebab:
Kejahilan, Kezaliman dan penderhakaan, Mengikut hawa nafsu, Menyalahi manhaj nabawi dalam penerimaan hukum syara' dan cara mengamalkannya.
2.  Khilaf yang harus dan dapat diterima akal
Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku dikalangan ulama' mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat'ei namun khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:
1.      Hendaklah khilaf itu berlaku dikalangan ulama' fiqh dan orang-orang yang berkelayakan dalam bidang agama.
2.      Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masaalah furuiyyah yang tiada dalil-dalil qat'iy berhubung dengan hukumnya.
3.      Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul.
4.       Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi mencapai kebenaran khilaf  seperti ini juga berlaku dikalangan para sahabat dan tabi'in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu, ini disebabkan masing-masing bekerja untuk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan.
BEBERAPA ETIKA KETIKA BERLAKU KHILAF
Di saat berbeza pendapat baik dalam suatu majlis atau bukan, sebagai seorang muslim kita berupaya untuk menjaga adab-adab berikut:
1.       Ikhlas dan mencari yang hak serta melepaskan diri dari hawa nafsu.
2.     Berlapang dada menerima kritikan  dan memahami bahawa ia adalah nasihat dari saudara seagama.
3.      Menghindari sikap menonjolkan diri, membela diri serta mencari kemasyhuran publisiti murahan.
4.      Berbincang dan bermuzakaran dengan cara dan kaedah yang terbaik.
5.   Tidak menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat sebagai sesat, bid'ah dan khurafat jika kita tidak mempunyai nas-nas syara' yang menyatakan kesalahan mereka.
6.        Hendaklah memberikan ruang kepada orang lain mengemukakan pendapat atau hujjah samaada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya.
7.      Menghormati pandangan orang lain  sebagaimana peristiwa Saidina Abu Bakar menerima cadangan tentang pengumpulan Al-Quran dari Saidina Umar.
8.      Menghormati dan menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para ulama' mujtahin dalam pelbagai mazhab.
9.       Tidak perlu memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam perkara khilafiah kecuali amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati oleh para ulama'.
10.      Berbaik sangka kepada orang yang berbeza pendapat dengan kita dan tidak menuduh buruk niatnya, mencela dan menganggapnya cacat.
11.     Berusaha untuk tidak memperuncing perselisihan, iaitu dengan cara menafsirkan pendapat yang keluar dari lawan atau yang dinisbahkan kepadanya dengan tafsiran yang tidak  baik.
12.      Tidak mudah menyalahkan orang lain, kecuali sesudah penelitian yang mendalam dan difikirkan secara matang.
13.     Sedapat mungkin menghindari permasalahan-permasalahan khilafiyah dan fitnah. Berpegang teguh dengan etika berdialog dan menghindari perdebatan, bantah-membantah dan kasar menghadapi lawan.
Disediakan Oleh :
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor
we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment