Wednesday 28 September 2011

KEHORMATAN MASJID(pikah)
Masjid adalah tempat yang mulia dan tempat beribadat orang-orang Islam. Hanya perkara-perkara ibadat seperti bersembahyang, beriktikaf, majlis ilmu dan lain-lain perkara ibadat dan ketaatan yang boleh dilakukan di dalamnya. Oleh kerana masjid merupakan tempat ibadat maka perlulah ia dijaga terutama dari sudut kebersihan dan ketertiban.Bahkan dilarang masjid dicemari dengan bau busuk sebagaimana sabda baginda rasulullah s.a.w. dengan maksudnya:" Bahawa masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis (al-bawl) dan kekotoran, kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada allah dan membawa Al-Quran " (Muslim).
ni adalah bersesuaian dengan firman allah s.w.t.di dalam surah at-taubah, ayat 28 yang bermaksud : " Wahai orang-orang musyrik itu adalah najis maka jangan kamu benarkan mereka menghampiri Masjid Al-Haram".Daripada ayant ini sesetengah ulama memahami bahawa orang-orang musyrik tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid kerana keadaan mereka yang tidak bersih sebagaimana orang-orang perempuan yang haid tidak dibenarkan berada di dalam masjid.Sungguh pun keadaan masjid itu dianjurkan supaya dijaga kebersihannya, namun tidaklah pula digalakkan menghiasinya secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan perasaan riak dan takabur.Sabda rasulullah s.a.w. daripada Anas yang bermaksud:"Tidak akan berlaku kiamat sehingga masjid-masjid iti dihiasi untuk menunjuk-nunjuk"(Ahmad,Abu Daud dan An-Nasa'i). Sabda Nabi seterusnya daripada Ibnu Abbas yang bermaksud :" Aku tidak suruh meninggikan binaan masjid lebih daripada keperluan sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani menghiasi tempat-tempat ibadat mereka"(Abu Daud).Begitu juga dilarang di dalam masjid berlaku pergaduhan dan menggikan suara.Sebagaimana firman allah s.w.t.di dalam surah al-baqarah, ayat 191 yang bermaksud:" Janganlah kamu memerangi orang-orang kafir di dalam Masjid al-Haram sehingga kamu diperangi." Begitu juga di dalam surah al-Hujurat, ayat 2 yang bermaksud :" Dan janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi." Dalam hubungan ini rasulullah s.a.w. bersabda daripada Abu Sa'id al-Khudri yang bermaksud:" Nabi Muhammad s.a.w. beriktiraf di dalam masjid maka terdengar oleh Baginda suara kuat membaca al-quran, maka baginda pun menyelak tirai tempat iktirafnya sambil bersabda: "Tidakkah kamu semua sedang bermunajat kepada allah s.w.t., maka oleh itu janganlah menyakiti sesama kamu dan janganlah meninggikan bacaan al-quran sesama kamu"(Abu Daud, Al-Nasa'i,Al-Baihaqi dan Al-Hakim). Di samping itu tidak boleh melakukan perkara maksiat, manaburkan fitnah,memuji pemerintah yang zalim dan perbuatan keduniaan seperti berjual beli di dalam masjid.Namun begitu diharuskan bercakap mengenai perkara-perkara yang mudah yang berkaitan dengan urusan keduniaan di dalam masjid termasuk ketawa yang ringan.Begitu juga harus makan dan minum di dalam masjid dengan syarat tidak sampai mengotorkannya.
Tiada Larangan Mengerjakan Ibadat Di Dalam Masjid
Perkara-perkara yang boleh menegah orang islam beribadat dan melakukan perkara ketaatan di dalamnya adalah dilarang oleh al-quran sebagaimana firman allah s.w.t., di dalam surah al-baqarah, ayat 114 yang bermaksud:"Dan siapakah yang terlebih aniaya daripada orang menhalang menyebut nama allah dalam masjid-masjidnya dan berusaha untuk meobohkannya?".Mengikut Imam Al-Qurtubi, ayat di atas memberitahu bahawa tidak boleh melarang sesiapapun daripada melakukan ibadat di dalam masjid dan meruntuhkan masjid.Dalam hubungan meruntuhkan masjid,terdapat dua makna:
(i) Meruntuhkan masjid secara fizikal sebagaimana orang-orang Nasrani meruntuhkan Masjid Al-Aqsa (atau sebagaimana pada masa kini seperti Masjid Babri diruntuhkan oleh pelampau Hindu di India).
(ii) Meruntuhkan masjid dalam ertikata menghalang daripada melakukan ibadat sembahyang dan menzahirkan syiar islam melalui masjid (seperti laungan azan).
Termasuk di dalam hukum meruntuhkan masjid selain mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat islam ialah membina dua masjid di satu tempat kediaman atau sebuah masjid mempunyai dua imam atau di dalam masjid itu terdapat du jamaah yang sedang bersembahyang.
Oleh yang demikian menjadi kewajipan ke atas pemerintah atau imam supaya perkara-perkara diatas tidak berlaku agar perpaduan umat islam dan kesucian serta kehormatan masjid terjaga.
Pentadbiran Masjid
Sejarah menunjukkan bahawa masjid-masjid yang dibina di zaman awal islam terletak di bawah pengawasan pemerintah islam.Contohnya Kota Mekah yang terdapat Masjidil Haram.Bahkan al-quran melarang Masjid al-haram itu diuruskan oleh orang-orang musyrik sebagaimana firman allah di dalam surah al-taubah,ayat 17 yang bermaksud: " Tidaklah layak bagi orang-orang musyrik untuk memakmurkan Masjid al-haram sedangkan mereka menyatakan kekufuran mereka". Oleh kerana masjia merupakan pusat kegiatan umat islam maka ia seharusnya diuruskan oleh pemerintah terutama dalam konteks mendirikan sembahyang jumaat.Sesetengah ulama menyatakan keharusan mendirikan sembahyang jumaat hanyalah dengan izin pemerintah.Begitu juga pemerintah boleh mengarahkan sesuatu masjid itu diruntuhkan sekiranya ia dibina di atas dasar dirar dan memudaratkan perpaduan umat islam sebagaimana di dalam peristiwa masjid dirar yang disebutkan di dalam al-quran.
Kesalahan-kesalahan Mengenai Masjid
Terdapat beberapa kesalahan mengenai masjid yang boleh dihukum di bawah undang-undang antaranya ialah:
(1) Menghina, membantah, tidak patuh dan mempertikaikan perintah atau arahan Yang Dipertuan Agong, Majlis dan Mufi (seksyen 9 Akta kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 - Akta 559). Perintah atau arahan di sini boleh ditafsirkan secara meluas untuk mencakupi segala arahan dan peraturan yang telah ditetapkan mengenai masjid.Jika didapati bersalah di atas pertuduhan di bawah seksyen di atas boleh dihukm denda tidak melebihi RM3,000 atau hukuman penjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
(2) Memusnahkan, mengotorkan dan merosakkan masjid atau surau atau lain-lain tempat ibadat atau apa-apa peralatannya dengan niat untuk menghina dan merendahkan agama islam (seksyen 32 Akta 559). Peruntukan undang-undang ini bermakna perbuatan memusnahkan,mengotor dan merosakkan masjid atau surau atau peralatannya mestilah dengan niat untuk menghina agama islam.Adalah memadai jika perbuatan memusnah,mengotor dan merosak itu sahaja dianggap sebagai satu kesalahan tanpa perlu kepada niat lagi untuk dianggap sebagai sati kesalahan di bawah seksyen ini.Namun jika didapati bersalah di bawah seksyen tersebut seseorang itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun penjara atau kedua-duanya.
(3) Menghasut supaya tidak melakukan kewajipan agama seperti hadir ke masjid atau pengajian agama atau upacara agama (seksyen 17 (1) Akta 559). Jika dalam konteks masjid,adalah menjadi satu kesalahan untuk menghalang seseorang untuk hadir ke masjid mengikut undang-undang.Jika didapati bersalah di bawah seksyen ini maka seseorang itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Daripada perbincangan di atas boleh disimpulkan bahawa pentadbiran masjid seharusnya diletakkan di bawah pengawasan kerana masjid merupakan tempat beribadat orang-orang islam yang harus dijaga dari dicemari oleh unsur-unsur negatif.Perkara ini adalah selaras dengan kehendak al-quran,al-sunnah dan bukti sejarah yang menunjukkan bahawa masjid itu suatu kehormatan umat islam yang wajib dijaga dan diawasi sentiasa.
 
 
Petikan Dari : Sinar Rohani, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment