Wednesday 28 September 2011

JANGAN MEMBUANG MASA(pikah)
Masa itu emas, demikian tinggi nilaian dan harga sebuah masa. Sesungguhnya setiap saat anugerah Ilahi perlu diisi dan dioptimumkan penggunaannya ke arah mencapai kesejahteraan kehidupan di dunia dan kebahagian di akhirat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Demi Masa ! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh,dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar " Surah Al Asr ayat 1-3.
Umumnya manusia berada dalam kerugian akibat daripada kealpaan dan kelekaan dalam menggunakan setiap detik waktu yang berlalu dari umur mereka lantaran terpesona dan terpukau dengan aneka keseronokan kehidupan dunia yang bersifat sementara ; Minda dan mata hati mereka telah kabur dan sarat dengan pelbagai ilusi dan fatamogana yang memesongkan hala tuju dan hakikat serta tuntutan kewujudan meraka di muka alam ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56.
Manusia merupakan Khalifah Allah s.w.t. yang amat wajar memperuntukkan seluruh umur kehidupan mereka siang dan malam bagi memakmurkan muka alam ini dengan melakukan pelbagai penerokaan,rekacipta sains dan teknologi dalam memacu kemajuan dan kecemerlangan sosio ekonomi berlandaskan tuntutan iman dan taqwa. Setiap insan perlu menyelusuri perjalanan kehidupan ini dengan berpandukan Cahaya Pimpinan Ar-Rahman demi untuk mencapai status khairul ummah.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud " Peliharalah lima perkara sebelum didatangi lima perkara lain iaitu waktu usia muda sebelum tua,sihat sebelum sakit,kaya sebelum miskin,lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati" Kata-kata hikmah sahabat nabi " Waktu itu ibarat pedang,sekiranya engkau tidak memotongnya ia akan memotong kamu"
Nikmat umur yang dikecapi oleh setiap insan akan diperhitungkan satu per satu yakni ke mana dan untuk apa umur itu dihabisi. Beruntunglah golongan yang memenuhkan setiap waktu untuk melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan soleh dan rugilah golongan yang mensia-siakan waktu dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan maksiat.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah,nescaya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,nescaya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya)"
Gejala sosial seperti budaya melepak,menghabiskan waktu berlegar-legar di pasaraya, merokok, ketagihan najis dadah dan sebagainya khususnya di kalangan remaja adalah berpunca dari kegagalan golongan ini untuk mengisi waktu-waktu senggang dan lapang mereka dengan aktiviti dan program-program yang mampu membentuk keperibadian dan sakhsiah jati diri mereka.
Menyedari akan kepincangan dan krisis identiti dan akhlaq remaja kini, individu,ibu-bapa,institusi kerajaan dan masyarakat seperti masjid surau,badan-badan NGO's perlu mengembelengkan tenaga dan buah fikiran bagi melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang benar-benar jitu dan efektif dalam membangkitkan kesedaran dan keinsafan para remaja hari ini agar segera hijrahkan diri mereka ke arah menjadi insan-insan icon atau roll model yang menjadi harapan bangsa dan tiang negara.
Setelah berhempas pulas, bergelumang dengan lautan buku dan laungan para pendidik, para pelajar kini telah bebas dari belenggu peperiksaan. Satu ruang waktu yang amat dinanti oleh mereka hingga menggelarkannya "bebas" atau "merdeka". Peperiksaan PMR, SPM dan STPM telah diharungi dengan jayanya dan kini mereka menunggu dengan penuh debar untuk mengetahui keputusan peperiksaan.
Namun ada yang kecundang dalam memenuhi waktu yang terluang itu. Mereka mengisinya dengan kegiatan tidak berfaedah yang akhirnya merosakkan diri masing-masing.
Waktu yang ada ini sewajarnya diisi dengan kegiatan berfaedah. Pelajar boleh menambah ilmu, memperbaiki sahsiah diri, meningkatkan potensi individu. Bagi yang berkemampuan, mereka boleh menyertai kelas-kelas pengajian jangka pendek seperti kursus komputer atau kem sahsiah dan ibadah. Ilmu yang diperolehi secara tidak langsung menjadi satu aset apabila kita meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan.
Pelajar yang tidak berkemampuan boleh mengisi masa ini untuk mendapatkan pendapatan sampingan dengan bekerja sambilan yang agak santai dan tidak terlalu membebankan seperti pembantu kedai. Secara tidak langsung, pendapatan yang diperolehi dapat menampung perbelanjaan apabila musim pembelajaran akan bermula.
Namun pelajar tidak digalakkan bekerja di tempat membebankan dan meraih pendapatan upah yang tinggi kerana ditakuti timbunan wang yang diperolehi dan tidak pernah terjangkau sebelum ini boleh membuatkan kita "gelap mata". Apabila ini berlaku ditakuti semangat kita untuk belajar dan memasuki alam persekolahan akan luntur. Minat meneroka ilmu akan pudar dan lebih bertumpu memburu wang ringgit.
Kegemilangan umat Islam silam dalam pembangunan material dan fizikal mahupun dalam kehebatan amalan rohani tidak lain dan tidak bukan kerana tokoh-tokoh Islam ketika itu telah menoptimumkan setiap waktu dan saat mereka untuk menekuni,meneroka,  menganalisa, mengkaji, mentafsir, merekecipta dalam semua disiplin dan bidang ilmu pengetahuan samada yang berkaitan dengan duniawi mahupun ukhrawi.
Ayuh umat pilihan! segeralah untuk mengisi setiap detik waktu dan nafas kita dengan melakukan amalan-amalan soleh yang kelak akan menjadi teman-teman setia kita di barzakh dan menjadi hujah pembela kita di hadapan Rabbul Jalil nanti.
Nukilan,

Muhammad Yusuf Ong Abdullah.
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor
we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment