Wednesday 7 September 2011

"MENGHAYATI HIJRAH"(pikah)

Hijrah dengan makna berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana berlaku dalam sejarah Islam sudah tidak wujud lagi. Apa yang dikehendaki oleh Nabi ialah hijrah jihad dan niat sebagaimana disebut oleh Rasulullah S.A.W:

" Tiada lagi hijrah sesudah kemenangan membuka semula Kota Mekah melainkan Jihad dan niat"

Jihad dengan makna berperang melawan musuh samaada musuh yang ada dalam diri kita iaitu menundukkan nafsu selari dengan syara' kerana nafsu adalah menjadi keperluan manusia untuk hidup. Begitu juga syaitan dan musuh yang memerangi Islam yang terdiri dari kalangan manusia.

Nafsu banyak mengarah kepada kejahatan. Kita perlu bermujahadah menundukkan nafsu sehingga menjadi nafsu mutmainnah. Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Surah al-Fajr ayat 27 hinnga 30:

" Wahai nafsu mutmainnah kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhainya. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam Syurgaku"

Nabi menyebutkan dalam hadisnya:

" Dilingkari jalan menuju ke Syurga itu dengan perkara yang berlawanan dengan nafsu dan dilingkari Neraka itu dengan sesuatu yang selari dengan nafsu"

Nafsu menjadi tunggangan syaitan dan itulah laluan utamanya. Syaitan menjadi musuh kepada anak adam yang nyata. Ini jelas dinyatakan dalam Surah Yasin ayat 60:

"Bukankah aku telah perintahkan kamu wahai anak -anak adam supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata"

Kita diperintahkan untuk sentiasa bersiap sedia untuk menhadapi musuh jika sekiranya mereka menceroboh dan menggugat keamanan. Maka Islam memerintahkan supaya kita menghadapi mereka dengan jihad. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Anfal ayat 60:

"Dan bersedialah untuk menghadapi mereka( musuh-musuh Islam ) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi"

Niat pula adalah asas di dalam syariat Islam. Niat juga yang mengesahkan amalan dan dengan niat juga membezakan di antara ibadat dan juga adat. Ini telah dinyatakan oleh baginda nabi S.A.W dalam hadisnya:

"Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat. Dan setiap sesaorang itu apa yang diniatkannya. Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya maka hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya. Dan sekiranya berhijrah itu kerana dunia maka dia akan memperolihinya atau kerana wanita maka dia boleh mengawininya, maka hijrahnya itu bergantung kepada niatnya"


Nabi bersabda lagi:

''Niat seorang mukmin lebih baik dari amalannya"

Kita hendaklah menjadikan amalan yang baik itu dengan niat ikhlas kerana Allah s.wt supaya amalan kita diterima serta memastikan bahawa amalan tersebut dilakukan mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan oleh syara' disamping syarat yang lain seperti khusyuk jika ibadat tersebut adalah solat. Sebaliknya amalan yang bersifat harus ( yang apabila dilakukan ) adalah bergantung kepada niat agar ia menjadi amal kebajikan.

Nabi telah menyatakan dalam hadisnya:

''Berapa banyak dari amalan-amalan dunia( harus ) kemudian ia boleh menjadi amalan akhirat ( yang mendapat pahala ) dengan niat yang baik dan begitu pula amalan akhirat ( amal soleh ) boleh menjadi amalan dunia ( tiada mendapat pahala bahkan dosa ) ialah dengan niat yang buruk"

Sabda Rasulullah S.A.W:

''Barangsiapa yang berniat untuk melakukan satu amal kebaikan tetapi tidak dapat melakukannya maka dia di beri satu kebaikan. Dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kebaikan dan dapat melaksanakannya maka Allah akan memberikan kepadanya dengan satu kebaikan yang digandakan sepuluh serta gandaan yang berlipat. Dan barang siapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kejahatan tetapi tidak dapat melakukannya maka Allah akan memberikan kepadanya denga satu kebaikan. Dan sesiapa yang berniat melakukan satu kejahatan dan ia dapat melakukannya maka diberi kepadanya dengan satu kejahatan"


Disediakan Oleh:
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor
from:http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=883&Itemid=70
we are the only one ! :)

No comments:

Post a Comment